SEMPORNA: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kampung Mentelitip Pegagau, Jalan Semporna – Tawau, di sini, pagi ini.
Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mangsa, Kassim Anuar, 68, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialaminya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.22 pagi sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba tiba pada jam 7.45 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan Toyota Hilux dengan keseluruhan tiga mangsa terbabit.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Dua lagi mangsa adalah individu yang menaiki Toyota Hilux berkenaan, masing-masing berusia 36 dan 54 tahun.
“Mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke hospital, manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zainal berkata, operasi ditamatkan pada jam 8.16 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain. – Info X