Berita Utama

Penunggang motosikal maut kemalangan dengan pacuan empat roda

SEMPORNA: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kampung Mentelitip Pegagau, Jalan Semporna – Tawau, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mangsa, Kassim Anuar, 68, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialaminya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.22 pagi sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi.

Katanya, pasukan bomba tiba pada jam 7.45 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan Toyota Hilux dengan keseluruhan tiga mangsa terbabit.

“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Dua lagi mangsa adalah individu yang menaiki Toyota Hilux berkenaan, masing-masing berusia 36 dan 54 tahun.

“Mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke hospital, manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainal berkata, operasi ditamatkan pada jam 8.16 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain. – Info X

Berita

59 tahun SPRM: Lima teras pacu transformasi banteras rasuah

Oleh Noraizura Ahmad

PUTRAJAYA: Menghampiri enam dekad menggalas amanah membanteras rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperhebat strategi untuk memastikan penguatkuasaan, pencegahan dan pemantapan integriti kekal menjadi benteng utama agensi itu.

Bersempena dengan ulang tahun ke-59 agensi itu hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman menetapkan lima teras kepimpinan sebagai hala tuju pentadbirannya iaitu integriti tanpa kompromi, penguatkuasaan yang adil dan saksama, pencegahan proaktif, penerapan teknologi dan ketelusan serta kepercayaan rakyat.

Beliau kata perubahan dinamik dalam landskap jenayah rasuah menuntut SPRM sentiasa tangkas melakukan transformasi dan menyesuaikan kaedah siasatan supaya kekal relevan menghadapi cabaran era baharu.

“Integriti adalah benteng utama dalam perjuangan membanteras rasuah, tidak boleh dikompromi atas apa-apa jua alasan, sama ada dalam membuat keputusan, menjalankan siasatan mahupun melaksanakan tanggungjawab harian,” katanya dalam sesi wawancara sempena Ulang Tahun SPRM ke-59.

Beliau berkata teras kedua diterjemahkan melalui pendekatan penguatkuasaan yang adil, termasuk keputusan SPRM menggantung pemakaian baju lokap berwarna oren terhadap Orang Kena Siasat (OKS) bagi proses reman di mahkamah bagi menangkis persepsi negatif terhadap individu yang masih dalam peringkat siasatan.

“Bagi SPRM, penguatkuasaan yang tegas tidak bermakna mengabaikan prinsip keadilan, kita boleh tegas terhadap jenayah rasuah tetapi pada masa yang sama tetap menghormati hak, maruah dan prinsip keadilan terhadap setiap individu yang berdepan proses siasatan,” katanya

Mengulas teras ketiga, Abd Halim menegaskan keutamaan SPRM untuk memperkukuh langkah pencegahan proaktif adalah dengan mengenal pasti kelemahan sistem serta menutup ruang ketirisan sebelum barah rasuah melarat, khususnya menerusi Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT).

Beliau berkata BPT menggalas peranan berlandaskan Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta SPRM 2009, termasuk meneliti amalan, sistem dan tatacara badan awam di samping menasihati pihak berkaitan mengenai langkah mitigasi bagi mengekang ruang perlakuan rasuah.

“Dalam masa sama, aspek penguatkuasaan turut diperkasakan apabila SPRM tidak lagi hanya menunggu laporan, malah juga mengambil pendekatan yang lebih proaktif melalui Siasatan Berasaskan Risikan atau Intelligence Based Investigation (IBI) bagi mengenal pasti dan membongkar kegiatan rasuah. Kita mahu bertindak sebelum masalah menjadi lebih besar,” katanya.

Menyentuh teras keempat, Abd Halim berkata SPRM memberi tumpuan kepada pemerkasaan teknologi, pendigitalan, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) bagi melonjakkan kecekapan operasi serta memperkukuh ketelusan siasatan.

Katanya langlah itu disokong oleh anjakan pendekatan penguatkuasaan yang tidak lagi sekadar pasif menunggu aduan, malah juga bergerak pantas menerusi IBI.

“Menerusi gabungan penggunaan analitik data, teknologi kecerdasan buatan atau AI dan sistem digital, semua ini membantu pegawai penyiasat memproses maklumat dalam jumlah yang besar dengan lebih pantas, termasuk mengenal pasti anomali, menjejaki aliran kewangan dan mengesan hubungan yang mungkin sukar dikenal pasti melalui kaedah konvensional,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Hakim berkata pada tahun ini tumpuan operasi SPRM terarah kepada empat sektor berimpak tinggi iaitu perolehan kerajaan, agensi penguatkuasaan, dana awam atau peruntukan khas, serta hasil dan pendapatan kerajaan.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga 31 Ogos lepas, SPRM menerima 5,239 maklumat dan membuka 842 kertas siasatan yang membawa kepada 803 tangkapan membabitkan 428 individu sektor swasta dan 311 penjawat awam, dengan 352 daripadanya melibatkan kesalahan menerima suapan, 278 tuntutan palsu serta 78 kes memberi rasuah.

“Selain itu, dalam tempoh Januari hingga 31 Julai lepas, SPRM telah berjaya merekodkan jumlah lucuthak, kompaun, penyelesaian dan pembekuan serta sitaan keseluruhannya bernilai RM55,314,743,” katanya.

Beliau menegaskan bagaimanapun, statistik bukan ukuran mutlak kejayaan SPRM, sebaliknya impak sebenar adalah apabila pesalah diheret ke muka pengadilan, ketirisan dana dikembalikan kepada negara dan lompang sistem berjaya dibaiki.

Menjadikan siasatan berprofil tinggi seperti skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International sebagai contoh, Abd Halim berkata kes berkenaan memperkukuh kepakaran agensi itu dalam forensik kewangan, siasatan rentas sempadan dan pemulihan aset.

“Bagi kes 1MDB, SPRM telah berjaya mendapatkan kembali RM31.3 bilion atau bersamaan 74.5 peratus daripada RM42 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diselewengkan setakat tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata kepelbagaian corak salah laku rasuah turut dibongkar menerusi operasi berimpak tinggi lain termasuk sindiket ‘counter setting’, Op Parasit, kelewatan agihan baja padi di Kedah, siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji serta pelaburan RM200 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan perlu disusuli pembetulan sistem, pengukuhan kawalan dalaman, penambahbaikan prosedur dan peningkatan akauntabiliti supaya setiap kes yang dibongkar memberikan pengajaran kepada negara.

“Kejayaan sebenar SPRM bukan sekadar apabila kita berjaya membongkar sesuatu kes, malah juga apabila hasil daripada kes tersebut, ruang untuk rasuah menjadi semakin sempit, sistem menjadi semakin kukuh dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara semakin meningkat,” katanya.

SPRM yang ditubuhkan pada Januari 2009 menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, bertindak sebagai badan bebas tunggal yang menerajui inisiatif pencegahan dan penguatkuasaan antirasuah di negara ini.–BERNAMA

Lori ‘sapu’ dua kereta, rempuh stor rumah

TENOM: Sebuah lori membawa muatan batu pasir hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum ‘menyapu’ dua kereta di halaman rumah penduduk dan merempuh sebuah stor di Jalan Batu 34, Tenom-Kemabong-Kuala Tomani, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Perodua Alza dan Proton Saga yang diletakkan di halaman rumah berkenaan mengalami kerosakan, manakala struktur stor turut rosak akibat rempuhan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu lelaki berusia 38 tahun dari arah Kemabong menuju Kuala Tomani untuk menghantar batu pasir.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan lurus menuruni bukit sebelum lori terbabas ke bahu kiri jalan.

“Lori itu kemudian merempuh dua kenderaan yang diletakkan di halaman rumah penduduk sebelum melanggar stor barangan di lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kejadian hanya membabitkan kerosakan kenderaan serta harta benda,” katanya.

Azmir berkata, ketiga-tiga pemandu dan pemilik kenderaan terbabit diarahkan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Tenom untuk membuat laporan kemalangan.

Katanya, cuaca ketika kejadian dilaporkan baik dengan keadaan jalan lurus menuruni bukit, rata dan berturap.

“Orang ramai khususnya pemandu kenderaan berat dinasihatkan supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mengawal kelajuan terutama ketika melalui laluan berbukit dan menurun bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59,” katanya. – Info X

Bangkai gajah ditemui hanyut di Sungai Kinabatangan

KINABATANGAN: Bangkai seekor gajah yang dipercayai hanyut dibawa arus ditemukan di Sungai Kinabatangan, di sini, petang hari ini.

Bangkai haiwan berkenaan ditemukan penduduk kira-kira jam 4.30 petang selepas dipercayai hanyut ke hilir sungai dari kawasan Lot 5 menuju Sukau.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, pihaknya mengesyaki bangkai berkenaan adalah gajah yang dilaporkan sakit beberapa minggu lalu.

Katanya, JHL sebelum ini ada menerima maklumat secara tidak rasmi mengenai seekor gajah yang sakit, namun tindakan ketika itu tidak dapat dilakukan kerana tidak dapat dipastikan kepada pihak mana aduan berkenaan disalurkan.

“Kita ada dimaklumkan secara tidak rasmi tetapi tidak dapat mengambil tindakan kerana tidak pasti aduan dibuat kepada pihak mana.

“Bangkai ini disyaki adalah gajah yang dilaporkan sakit beberapa minggu lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Soffian berkata, keadaan bangkai serta maklumat lanjut hanya dapat dikenal pasti selepas anggota JHL tiba di lokasi dan menjalankan pemeriksaan, esok.

Menurutnya, usaha untuk ke lokasi ketika ini berdepan kekangan berikutan masalah kekurangan bot.

“Maklumat mengenai keadaan bangkai tidak dapat dipastikan sehinggalah anggota sampai ke lokasi itu,” katanya. – Info X

Harimau Malaya bakal berdepan China pada November

PETALING JAYA: Harimau Malaya dijadualkan menghadapi dua perlawanan persahabatan Tier 1 menentang China di Guangzhou pada 14 dan 17 Nov ini sebagai sebahagian daripada persiapan pasukan kebangsaan untuk meningkatkan kedudukan ranking dunia.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ab Ghani Hassan berkata dua perlawanan berkenaan penting dalam usaha Harimau Malaya mengumpul mata ranking selain memburu kedudukan balang undian lebih baik bagi kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2032.

“Ini juga persiapan yang kita harus lakukan untuk Harimau Malaya menghadapi perlawanan tersebut, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2025-2029 di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Rabu.

Ab Ghani berkata FAM kini memberi perhatian terhadap perancangan perlawanan antarabangsa Tier 1 kerana setiap perlawanan mampu menyumbang mata penting dalam usaha memperbaiki kedudukan ranking pasukan kebangsaan.

Harimau Malaya kini beraksi pada Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia, yang membuka tirai Khamis lepas.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe memulakan aksi Kumpulan A Divisyen 1 dengan langkah kanan apabila menewaskan Bangladesh 3-0 sebelum seri tanpa jaringan berdepan Indonesia 0-0 pada Isnin lepas.

Harimau Malaya akan menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada Khamis ini. –BERNAMA

Negara perlu generasi muda berilmu, bersemangat pacu pembangunan negara – Anwar

PUTRAJAYA: Negara memerlukan generasi muda yang mempunyai kekuatan semangat, kefahaman dan ilmu untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab besar dalam memacu pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bakat dan ciri kepimpinan belia seperti itu amat penting dalam mendepani pelbagai cabaran serta dinamika tadbir urus negara yang bersifat kompleks dan rencam.

“Bila saudara (peserta) duduk di sini (dalam perkhidmatan awam), saudara akan lihat bagaimana rencam, bagaimana rumit permasalahan yang kita hadapi.

“Pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai wilayah, pelbagai kelompok yang menuntut sebaik mungkin daripada kita. Tetapi insya-Allah, kita dapat lakukan dengan sebaiknya,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peserta Program MADANI Fellowship 2026 di sini, pada Rabu.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan menteri Kabinet.

Sebanyak 76 belia berusia antara 23 hingga 29 tahun terpilih menyertai program empat bulan itu, dengan penempatan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan bagi memberikan pendedahan secara langsung mengenai dasar serta sistem pentadbiran negara.

Program MADANI Fellowship, yang dijenamakan semula daripada Felo Perdana susulan keputusan Jemaah Menteri pada 26 Jun lepas, ialah inisiatif pembangunan kepimpinan belia berkonsepkan mentor menti bersama barisan kepimpinan tertinggi negara dalam memahami selok-belok tadbir urus awam.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pendedahan secara terus kepada jentera pentadbiran berupaya memberikan kefahaman holistik berhubung landskap tadbir urus yang perlu mengimbangi kepelbagaian latar belakang masyarakat, wilayah serta tuntutan rakyat.

“Anak-anak akan berjumpa dengan mentor-mentor dalam kalangan menteri, yang tentunya akan sangat sibuk. Tetapi saya percaya anda boleh, tapi yang penting itu ialah peluang dan kesempatan supaya anak-anak boleh bersama melihat program kementerian, jabatan, perbahasan di Parlimen,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata walaupun kebanyakan peserta ditugaskan di kementerian khusus, pemahaman mereka terhadap jentera pentadbiran tidak seharusnya terhad kepada kementerian berkenaan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi skop yang lebih meluas.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri mencadangkan penambahbaikan dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan dengan memberikan ruang kepada peserta mempelajari skop tugas di kementerian lain sepanjang tempoh empat bulan program berlangsung.

“Walaupun tugasan di kementerian masing-masing, mungkin kita boleh berikan ruang satu hari tertentu untuk mereka berpindah sekadar mengenali, dan mengetahui perjalanan di kementerian lain supaya kefahaman mereka lebih komprehensif,” kata beliau.

Selain itu, Anwar turut menggesa peserta MADANI Fellowship agar menguasai ilmu, meneliti sesuatu isu secara mendalam serta memanfaatkan sepenuhnya peluang pendedahan yang diberikan sepanjang program.

“Jadi, manfaatkan sumber yang ada, gunakan masa anda sepenuhnya, belajar, menimba ilmu, berinteraksi dengan seramai mungkin dan pelajari melalui pengalaman praktikal dilakukan atau sedang diusahakan oleh mentor anda,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan sokongan padu barisan Jemaah Menteri terhadap program berkenaan sebagai bukti jelas komitmen serta keutamaan berterusan kerajaan dalam agenda pembangunan kepimpinan belia negara.

“Itu menunjukkan kepentingan dan perhatian yang kami berikan kepada anak-anak kita, golongan muda serta bakal pemimpin,” kata beliau.–BERNAMA

Lima individu didakwa berkaitan kes PPRT, tipu dokumen

KOTA KINABALU: Lima individu termasuk empat pemilik syarikat dan seorang pembantu tadbir didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, hari ini, atas pelbagai pertuduhan berkaitan penyediaan dokumen dan kerja baik pulih rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Sabah.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala seorang daripada mereka turut berdepan 10 pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu didakwa berlaku di pejabat GIATMARA Negeri Sabah, Kota Kinabalu, antara Februari hingga September 2021.

Pemilik Asyikin Enterprise, Ashar bin Usman, 45, berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana didakwa memberikan dokumen pesanan belian berjumlah RM14,933 yang mengandungi pernyataan palsu berkaitan kerja baik pulih sebuah rumah PPRT.

Dokumen itu didakwa diberikan kepada Pengarah GIATMARA Negeri Sabah ketika itu, Saflee bin Ag Damit, sedangkan kerja baik pulih berkenaan didakwa tidak dilaksanakan mengikut butiran pengiraan (BQ) ditetapkan.

Sementara itu, pemilik SW Global dan SW Global Venture, Shariff bin Wahya, 55, turut berdepan satu pertuduhan mengikut seksyen sama membabitkan dokumen pesanan belian bernilai RM14,999.

Pertuduhan itu berkaitan kerja baik pulih rumah PPRT yang didakwa tidak mengikut spesifikasi kerja ditetapkan.

Pemilik Nur Enterprise, Kenidi bin Musa, 41, pula berdepan lima pertuduhan kerana didakwa memberikan beberapa invois mengandungi pernyataan palsu berkaitan kerja baik pulih rumah PPRT.

Keseluruhan nilai dokumen yang disebut dalam lima pertuduhan itu adalah sekitar RM14,996 hingga RM14,998 setiap satu, manakala kerja sebenar didakwa tidak mengikut spesifikasi BQ ditetapkan.

Pemilik Alyanazmi Enterprise, Mohd Nur bin Musa, 42, turut berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pertuduhan terhadapnya membabitkan beberapa pesanan belian bernilai antara RM14,934 hingga RM15,000 yang didakwa mengandungi pernyataan palsu berhubung kerja baik pulih rumah PPRT.

Bagi semua empat lelaki berkenaan, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 28 Oktober 2026.

Mereka juga masing-masing diperintahkan membayar ikat jamin antara RM10,000 hingga RM15,000 dengan sejumlah wang deposit dan penjamin tempatan.

Mahkamah turut menetapkan mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa atau pasport terhad kepada mahkamah serta tidak mendekati saksi pihak pendakwaan.

Sementara itu, pembantu tadbir Jabatan Pertanian Negeri Sabah di Seksyen Pengembangan Pertanian Tuaran, Aidah binti Mustapha, 54, berdepan 10 pertuduhan.

Lima pertuduhan pertama mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berkaitan dakwaan penggunaan dokumen mengandungi pernyataan palsu bagi kerja baik pulih rumah PPRT.

Lima lagi pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan pula berkaitan dakwaan menggunakan dokumen sebagai tulen sedangkan mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen berkenaan adalah palsu.

Dokumen berkenaan didakwa digunakan bagi tujuan mendapatkan bayaran kerja menyediakan perkhidmatan baik pulih di bawah Program Bantuan Rumah (PPRT/SPKR) Tawau Tambahan-2019, masing-masing membabitkan jumlah sekitar RM14,996.50 hingga RM15,000.

Kesemua pertuduhan terhadap Aidah berkaitan kejadian yang didakwa berlaku di pejabat GIATMARA Negeri Sabah pada April 2021.

Aidah juga tidak mengaku salah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 28 Oktober 2026 serta membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan deposit RM5,000 dan dua penjamin tempatan.

Beliau turut diperintahkan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa atau pasport terhad kepada mahkamah dan tidak mendekati saksi pihak pendakwaan.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan, jika boleh dinilai dalam bentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.Nota: Laporan asal menyatakan semua tertuduh yang berkenaan tidak mengaku salah dan pertuduhan masih pada peringkat mahkamah. – Info X

Mahasiswa Borneo jadi jambatan hubungkan komuniti, universiti dan negeri

ALOR GAJAH: Mahasiswa Borneo mempunyai peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti, universiti dan negeri, selain membantu memperkukuh kefahaman mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata mahasiswa era baharu juga harus celik dengan sejarah bangsa, peka dengan denyut nadi masyarakat dan faham arus pembangunan yang membentuk negara.

“Apabila kita bicara soal masa depan negara, anda semua adalah penentunya. Saudara-saudari harus sedar, anda adalah generasi yang bakal mengisi saf hadapan, menjadi barisan pemimpin, profesional dan penggerak masyarakat yang akan memacu haluan Malaysia pada masa hadapan.

“Khusus buat anak-anak muda Borneo yang menuntut di menara gading seluruh negara, peranan anda jauh lebih besar. Anda ialah duta kecil, jambatan hidup dan ejen penyatu yang menghubungkan komuniti, universiti dan negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Mahasiswa Borneo Aspirasi MA63 di Dewan Auditorium, Canselori Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, pada Rabu.

Simposium itu disertai 134 mahasiswa daripada beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), termasuk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), UTeM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Mengulas mengenai MA63, Mohammad Yusof berkata perjanjian berkenaan bukan sekadar dokumen sejarah, sebaliknya merupakan asas penting yang mendasari kewujudan Malaysia.

Beliau berkata pelaksanaan MA63 perlu diterjemahkan secara jujur menerusi perundangan yang memelihara hak autonomi wilayah, pengagihan kekayaan negara yang saksama serta amalan federalisme yang sempurna.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan mahasiswa supaya matang ketika membincangkan isu berkaitan MA63 dengan bijak menapis hujah, membezakan persepsi daripada realiti serta bersandarkan fakta dan bukti, khususnya dalam suasana kebanjiran maklumat dan kepantasan media sosial.

“MA63 bukanlah isu Sabah dan Sarawak semata-mata, ia isu seluruh Malaysia. Kita tidak boleh lagi melihat perjanjian bersejarah ini melalui lensa yang sempit atau sekadar sebagai tuntutan sebelah pihak.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena dengan sambutan Hari Malaysia baru-baru ini, menyifatkan MA63 sebagai sebuah ‘wa’ad nasional’, iaitu satu komitmen kebangsaan dan tanggungjawab seluruh negara, bukannya sekadar urusan, atau ‘hal orang Sabah dan Sarawak’ sahaja,” katanya.

Beliau turut menyeru mahasiswa memanfaatkan simposium itu untuk mengemukakan hujah dan soalan yang matang serta mendapatkan penjelasan daripada panel, selain membina jaringan dalam bidang pendidikan, penyelidikan, kebudayaan dan pembangunan kepimpinan mahasiswa.–BERNAMA

Jemaah menteri doakan kesihatan Tun Dr Mahathir – Fahmi

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri mendoakan kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada dalam pemantauan doktor di Institut Jantung Negara (IJN).

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada Dr Mahathir serta keluarga susulan pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Pihak kerajaan merakamkan ucapan takziah buat Dr Mahathir dan keluarga atas pemergian Dr Siti Hasmah. Allahyarham merupakan seorang tokoh wanita dan negarawan yang amat dihormati.

“Jemaah Menteri turut mendoakan kesihatan Dr Mahathir yang kini berada dalam pemantauan doktor di Institut Jantung Negara,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, Tan Sri Mokhzani Mahathir memaklumkan bapanya dimasukkan ke IJN sejak semalam untuk menjalani pemerhatian.

Mokhzani berkata keadaan bapanya ketika ini adalah baik dan tidak membimbangkan namun keputusan memasukkan Dr Mahathir ke IJN dibuat bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu diberi perhatian selepas pemergian Dr Siti Hasmah.

Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN pada pagi 28 Sept lepas dan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20 di sini pada hari yang sama dengan Istiadat Pengebumian Negara.–BERNAMA

Pasangan kekasih ditahan bersama syabu RM27,000

BELURAN: Sepasang kekasih ditahan polis selepas ditemukan bersama lima bungkusan syabu seberat 250.32 gram bernilai kira-kira RM27,000 di tepi jalan sebuah kebun kelapa sawit persendirian di Kampung Cenderamata, Tagas-Tagas, di sini, pagi tadi.

Pasangan berusia 38 dan 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran kira-kira jam 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pemeriksaan terhadap salah seorang suspek menemukan lima bungkusan plastik mengandungi bahan hablur disyaki syabu.

“Dadah berkenaan mempunyai berat kasar 250.32 gram dengan anggaran nilai RM27,000.

“Kedua-dua suspek adalah warga tempatan dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, pasangan terbabit kini ditahan di Balai Polis Beluran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hasan berkata, polis memandang serius kegiatan mengedar, memiliki dan menyalahgunakan dadah serta mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan. – Info X

Jenayah/Kemalangan

Semasa

Sukan

Hiburan

Pendapat