KOTA KINABALU: Seramai 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi program pemindahan tahanan dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.

Daripada jumlah itu, 115 adalah warga Filipina yang ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Tawau sebelum dihantar melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi menggunakan feri komersial.

JIM Sabah dalam kenyataan berkata, kumpulan berkenaan terdiri daripada 59 lelaki dan 21 wanita dewasa serta 35 kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga 57 tahun.

Menurut kenyataan itu, 17 lagi tahanan warga Indonesia dari Depot Imigresen Tawau turut dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan feri komersial.

“Mereka terdiri daripada 13 lelaki dan dua wanita dewasa serta dua kanak-kanak dengan lingkungan usia antara satu hingga 68 tahun.

“Semua kanak-kanak yang menyertai program pemindahan itu diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing,” menurut kenyataan itu.

JIM Sabah berkata, sehingga kini seramai 4,580 tahanan PATI pelbagai kewarganegaraan sudah dipindahkan pulang ke negara asal masing-masing.

Jumlah itu membabitkan 3,004 warga Filipina, Indonesia (1,334), Pakistan (113), China (92), Vietnam (18) dan 19 daripada negara lain.

Menurutnya, semua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan serta mempunyai dokumen perjalanan sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan.

Dalam pada itu, JIM Sabah menyeru masyarakat supaya tidak bersekongkol, melindungi atau menggaji PATI.

Orang ramai juga diminta segera melaporkan sebarang kegiatan berkaitan PATI kepada saluran rasmi JIM Sabah bagi membolehkan tindakan lanjut diambil. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *