KOTA KINABALU: Sebanyak 61 kontinjen mengambil bahagian dalam istiadat perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah di Padang Merdeka, di sini, pada Isnin.
Jumlah itu merangkumi sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), badan bukan kerajaan (NGO), persatuan etnik, syarikat swasta dan badan berkanun, jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam dan jabatan kerajaan berpakaian seragam.

Secara keseluruhan istiadat itu disertai dan dihadiri kira-kira 5,000 orang.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor antara kenamaan yang turut menghadiri istiadat berkenaan.

Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Juliah Salag, tiba pada jam 7.55 pagi sebelum menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama sebaik naik ke pentas utama.
Istiadat penuh adat dan tradisi itu mencapai kemuncak dengan keberangkatan tiba TYT Tun Musa Aman bersama Toh Puan Faridah Tussin pada jam 8 pagi.

Sebaik tiba, lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dimainkan diikuti tembakan meriam 17 das sebagai tanda penghormatan, sebelum TYT menerima tabik hormat diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama.
Beliau kemudiannya memeriksa kontinjen perbarisan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, NGO, persatuan etnik, institusi pengajian tinggi serta pelajar sekolah.

Istiadat turut diserikan dengan persembahan koir serta persembahan khas oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah sempena sambutan ulang tahun rasmi berkenaan.
Pelbagai dif kenamaan termasuk anggota Kabinet Negeri dan Persekutuan, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen serta ketua jabatan hadir memeriahkan istiadat berkenaan. – Info X