Imigresen Sabah tahan 164 PATI dalam tiga hari

Share

KOTA KINABALU: Seramai 164 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 30 kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi 10 operasi penguatkuasaan di seluruh daerah dalam tempoh tiga hari.

Operasi bermula 11 hingga 13 Ogos itu dilaksanakan di beberapa lokasi strategik dengan seramai 575 individu diperiksa bagi membanteras kehadiran PATI serta penyalahgunaan kemudahan imigresen.

JIM Sabah dalam kenyataan malam tadi berkata, daripada keseluruhan tangkapan, 114 adalah warga Filipina membabitkan 58 lelaki dan 36 wanita dewasa serta sembilan kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan.

Menurut kenyataan itu, seramai 48 warga Indonesia turut ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan 16 wanita dewasa, selain tiga kanak-kanak lelaki serta tujuh kanak-kanak perempuan.

“Dua lagi yang ditahan adalah lelaki warga Pakistan.

“JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.

Masyarakat turut diminta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan PATI kepada saluran rasmi JIM bagi membantu tindakan penguatkuasaan. – Info X

Berita