KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu kerajaan negeri mengambil iktibar daripada isu Tabung Haji dan mengelak amalan berhutang untuk membayar hutang dalam menguruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Pembangkang DUN Sabah itu, berkata penstrukturan kewangan tidak seharusnya sekadar memindahkan hutang daripada satu entiti kerajaan kepada entiti lain sehingga punca masalah dan pihak yang bertanggungjawab terlepas daripada perhatian.

“Hentikan amalan perakaunan kreatif yang ada ini,” kata Ahli Parlimen Semporna itu ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Selasa.

Shafie berkata, beliau bimbang penggunaan syarikat tujuan khas (SPV) sebagai penyelesaian kepada masalah kewangan boleh menjadi contoh kepada entiti lain untuk mengambil pendekatan sama.

Beliau mengaitkan perkara itu dengan Sabah dengan merujuk kepada hutang Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) dan pembiayaan yang diperoleh SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) selepas mengambil alih syarikat berkenaan.

Katanya, rekod menunjukkan SMJE menerbitkan Sukuk Wakalah berjumlah RM900 juta pada 2023 berkaitan pengambilalihan SIP, termasuk untuk membiayai semula pinjaman sedia ada syarikat itu.

Kerajaan Negeri sebelum ini, katanya mempertahankan langkah itu dengan menjelaskan penstrukturan berkenaan mengurangkan kos pembiayaan serta membolehkan SIP menjadi bebas hutang.

Bagaimanapun, Shafie memberi amaran sebuah entiti awam tidak digunakan untuk menyelamatkan kerugian institusi lain sekiranya masalah itu berpunca daripada kelemahan pengurusan.

Presiden Parti Warisan itu berkata, penstrukturan kewangan juga tidak seharusnya menyebabkan mereka yang bertanggungjawab terhadap sebarang penyelewengan atau salah laku asal terlepas daripada tindakan undang-undang.

Shafie berkata, pengajaran daripada isu Tabung Haji perlu dijadikan peringatan dalam pengurusan GLC di Sabah supaya hutang tidak sekadar diselesaikan dengan hutang baharu, sebaliknya setiap kerugian dan kelemahan pengurusan ditangani secara telus dan bertanggungjawab. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *