KOTA KINABALU: Gara-gara dipercayai terlupa meletakkan gear pada kedudukan ‘P’ (park), sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bergerak sendiri sebelum terbabas merempuh pintu kaca Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 4.55 petang itu berlaku ketika pemandunya, wanita berusia 66 tahun, berhenti di lorong kedua di hadapan bangunan KKIA untuk menjemput anaknya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai terlupa meletakkan gear kenderaan pada kedudukan ‘P’ ketika hendak bertukar pemandu.
Katanya, ketika cuba keluar, SUV berkenaan mula bergerak perlahan menyebabkan wanita itu panik sebelum secara tidak sengaja menekan pedal minyak.
“Keadaan itu menyebabkan kenderaan meluncur laju ke hadapan dan melanggar sebuah kenderaan lain.
“SUV berkenaan kemudian terbabas merempuh pintu kaca bahagian pelepasan KKIA sebelum melanggar sebuah tiang bangunan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, wanita berkenaan sempat keluar daripada SUV sebelum pelanggaran berlaku, namun mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka akibat terkena serpihan kaca.
Katanya, mangsa kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 [LN 166/59] di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum ditinggalkan selain memandu secara cermat dan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Terdahulu, kejadian SUV terbabas memasuki bangunan KKIA itu menarik perhatian orang ramai selepas rakaman dan gambar keadaan kenderaan di dalam balai pelepasan tersebar di media sosial. – Info X