TUARAN: Aktiviti berkelah dan mandi-manda dua remaja perempuan di Pantai Tanjung Badak, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan meninggal dunia, petang tadi.

Mangsa, Nurul Husna Nurul Ain Amdan, 15, ditemukan pada jam 5.08 petang sebelum dibawa ke kawasan selamat dan diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Rakannya, Rabiatul Adawiyah Hamzah, 15, pula berjaya diselamatkan orang awam dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.59 petang.

Katanya, seramai 11 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai.

“Menurut maklumat awal, kedua-dua mangsa dikhuatiri hilang di laut ketika menjalankan aktiviti berkelah dan mandi-manda di pantai berkenaan.

“Seorang mangsa berjaya ditemui orang awam, manakala seorang lagi masih gagal dikesan menyebabkan operasi mencari dan menyelamat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pencarian menggunakan kaedah Water Surface Searching di sekitar kawasan mangsa kali terakhir dilihat.

Katanya, mangsa yang hilang akhirnya ditemukan pada jam 5.08 petang sebelum dibawa ke kawasan selamat.

“Pasukan penyelamat memberikan bantuan CPR kepada mangsa, namun mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas KKM.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.07 petang. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *