TUARAN: Lebih 11 tan serbuk ketum yang sudah diproses dan dibungkus dipercayai menunggu masa untuk diedarkan terbongkar dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Tuaran, di sini, Khamis lalu.

Rampasan seberat 11.45 tan itu dipercayai antara rampasan terbesar membabitkan ketum di Sabah, dengan nilai serbuk berkenaan sahaja dianggarkan RM1.145 juta.

Operasi kira-kira jam 6 pagi itu dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran hasil maklumat risikan.

Pemeriksaan dilakukan di premis berkenaan termasuk sebuah lori sebelum pasukan operasi menemukan sejumlah besar serbuk daun ketum yang sudah diproses dan dibungkus dipercayai untuk tujuan pengedaran.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, keseluruhan serbuk ketum yang dirampas dianggarkan seberat 11,450 kilogram (kg).

Katanya, nilai ketum terbabit dianggarkan RM1.145 juta, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan mencecah lebih RM1.4 juta.

“Empat individu terdiri daripada tiga lelaki berusia antara 23 hingga 46 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua individu berkenaan negatif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Amri, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan bersama JSJN Sabah bagi mengenal pasti baki anggota sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.

“Siasatan turut diteruskan bagi memastikan penyalahgunaan ketum dalam pelbagai bentuk dapat dibanteras secara menyeluruh.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkasakan risikan dan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *