LAHAD DATU: Taktik menyimpan puluhan bungkusan serbuk ketum terbongkar apabila polis menahan empat individu dalam Op Tapis yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.
Dalam operasi itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu merampas 92 bungkusan serbuk ketum seberat 92 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM9,200.
Turut dirampas ialah 0.12 gram dadah disyaki syabu bersama beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada empat suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan dan polis akan memohon perintah reman terhadap mereka untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, BSJND IPD Lahad Datu akan terus memperhebat operasi membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah dan bahan terlarang bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara. – Info X