KOTA KINABALU: Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat menegaskan keutamaan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat di Hospital Lahad Datu tidak terjejas.

Menterinya, Datuk Julita Majungki, berkata pihaknya memahami kebimbangan yang dibangkitkan berhubung kekurangan Pegawai Perubatan di hospital itu dan tidak akan membiarkannya menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, beliau dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang mengambil tindakan segera bagi memastikan perkhidmatan kritikal hospital dapat diteruskan tanpa menjejaskan keselamatan dan kebajikan pesakit.

“Apa yang penting ketika ini ialah memastikan gangguan kepada perkhidmatan kesihatan dapat diminimumkan, khususnya bagi pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dan penjagaan rapi.

“Pada masa yang sama, isu tenaga kerja kesihatan perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia bukan saja melibatkan penempatan pegawai, tetapi juga keperluan mengekalkan tenaga kerja berpengalaman di fasiliti yang berdepan tekanan perkhidmatan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Julita berkata Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan JKNS bagi memastikan keperluan perkhidmatan kesihatan di Sabah, khususnya di kawasan pantai timur, terus diberi perhatian dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, JKNS dalam satu kenyataan mengambil serius isu kekurangan Pegawai Perubatan yang dihadapi di Hospital Lahad Datu pada masa kini.

“Bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan dan keselamatan pesakit di daerah itu terus terpelihara, beberapa langkah proaktif merangkumi beberapa strategi telah dan akan segera dilaksanakan.

“Strategi ini menumpukan kepada pelaksanaan mobilisasi Pegawai Perubatan melalui pendekatan kluster yang melibatkan bantuan hospital di bawah Hospital Kluster Kota Kinabalu dan Hospital Kluster Tawau.

“Tindakan pantas ini adalah mustahak bagi menjamin kelangsungan operasi klinikal dan perkhidmatan teras di Hospital Lahad Datu agar tidak terjejas,” katanya.

JKNS berkata, kapasiti perkhidmatan akan diperkukuh melalui penempatan tiga Pegawai Perubatan tetap dan dua secara sementara dengan semua pegawai dijadualkan memulakan tugas secara rasmi pada Julai 2026.

“Jabatan ini akan memberi keutamaan agihan Pegawai Perubatan kontrak kepada fasiliti yang mengalami kekurangan kritikal pada pengambilan terdekat serta memperkasakan kawalan perpindahan keluar bagi menjamin kestabilan tenaga kerja dan kelangsungan perkhidmatan kepakaran.

“Pihak JKNS sentiasa meletakkan kebajikan pesakit dan kelancaran operasi hospital di seluruh Sabah sebagai keutamaan tertinggi, sekali gus memastikan mutu penjagaan kesihatan yang terbaik dapat diberikan kepada masyarakat di Sabah,” katanya.

Ends

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *