KOTA KINABALU: Sebuah vesel nelayan Filipina bersama 65 kru termasuk tekong ditahan selepas disyaki menceroboh perairan negara dan menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan barat Pulau Mantanani, Ahad lalu.
Ketika ditahan, kru vesel berkenaan dikesan sedang memunggah kira-kira empat tan hasil laut ke dalam vesel terbabit.
Vesel itu dikesan kira-kira jam 1.30 tengah hari pada kedudukan 18 batu nautika barat Pulau Mantanani ketika aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menjalankan rondaan rutin.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pemeriksaan lanjut mendapati semua kru termasuk tekong berada di atas vesel berkenaan.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 65 kru termasuk tekong berada di atas vesel terbabit.
“Semua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau permit kerja yang sah.
“Mereka turut disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Khairulanuar berkata, vesel bersama tekong, kru dan hasil laut berkenaan ditahan sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel dan hasil laut dianggarkan berjumlah RM350,000.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana vesel nelayan asing yang menceroboh perairan negara atau menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kedaulatan perairan negara, kepentingan sumber perikanan serta keselamatan maritim sentiasa terpelihara.
“Orang ramai khususnya komuniti nelayan turut diminta menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut kepada Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X