Dakwaan kerajaan gagal hanya dakwaan puak lawan – Ketua Menteri

Share

SUKAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mempertahankan keupayaan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus dalam mentadbir dan mengurus negeri dengan baik.

Beliau menegaskan, kerajaan pimpinannya tidak gagal melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya selaku pemerintah, meskipun dituduh sebagai kerajaan yang gagal oleh pihak lawan.

Katanya, tuduhan itu tidak lebih sebagai tanggapan puak yang tidak suka kepada kerajaan GRS-PH Plus dan enggan menerima hakikat bahawa kerajaan yang ada sekarang berjaya melakar banyak pencapaian.

“Banyak yang sudah kita buat, tapi ada yang cakap kerajaan GRS gagal. Sebenarnya kerajaan GRS tidak gagal, macam mana dikatakan gagal kalau kita mentadbir negeri ini dengan baik.

“Kita dapat tingkatkan hasil negeri, melaksanakan pembangunan dan beri bantuan kepada rakyat, meningkatkan bantuan kepada pelajar seluruh Sabah dari Tingkatan Lima dan Enam sampailah ke Universiti.

“Begitu juga dengan PETRONAS, kita berjaya memeterai perjanjian dengan syarikat itu dan ia antara pencapaian kita. Kalau kita tidak pandai urus negeri tidak mungkin ini semua boleh berlaku.

“Kalau kita dianggap kerajaan gagal, itu cuma tanggapan puak yang tidak suka kepada kita,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau, di pekarangan Masjid Tun Juhar, di sini, pada hari ini.

Hajiji menyampaikan sumbangan beg kepada murid sekolah di Sukau.

Yang turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah selaku Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Arifin Arif; Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Datuk Juhari Janan.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata beliau yakin dengan apa yang dibuat oleh kerajaan hari ini, rakyat sekali lagi akan memberi mandat kepada GRS-PH Plus, termasuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

“Kita bukan macam pemimpin lain yang suka fitnah dan cakap macam-macam tapi tidak melakukan apa-apa, mereka hanya bercakap kosong dan bohong setiap masa kepada rakyat.

“Saya minta rakyat di Sukau ini jangan percaya kepada pembohongan pemimpin atau puak yang tertentu ini. Kita mahu Sabah terus maju dan atas sebab itu kita perlu sokong GRS-PH Plus,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu memberi kepercayaan kepada kerajaan GRS-PH Plus pada PRN akan datang dan meyakini bahawa gabungan itu akan memenangi pilihan raya itu nanti.

“Kita adil kepada semua kaum dan masyarakat tanpa mengira asal usul mereka dan insyaAlllah kalau diberi peluang lagi kita akan teruskan kemajuan yang kita rancang melalui hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk di Sukau, Lamag dan Kuamut di Kinabatangan ini.

“Lupakanlah sejarah dulu, kita cuba yang baharu ini pula, insyaAllah kita akan dapat kemajuan seperti yang kita rancangkan. Kita kuatkan perpaduan kita dan buat perubahan untuk Sukau, Lamag dan Kuamut,” katanya.

Hajiji menerima borang keahlian Gagasan Rakyat bekas pemimpin Bersatu di Sukau.

Bercakap kepada media selepas itu, Hajiji mengulangi keyakinannya terhadap keupayaan Gagasan Rakyat dan parti komponen dalam kerajaan sekarang untuk mencapai yang terbaik selama menjadi kerajaan.

Beliau juga yakin rakyat akan memberi peluang kepada kerajaan pimpinannya untuk meneruskan usaha membangun dan membawa bermacam kebaikan ekonomi dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah.

Mengenai Sukau yang kini berstatus daerah kecil, Hajiji menyatakan keyakinannya untuk melihat daerah kecil itu membangun dengan lebih pesat lagi menerusi pengurusan pejabat daerah kecil yang baharu, khususnya sektor pelancongan yang menjadi kekuatan ekonomi daerah ini.

Pada majlis itu, Hajiji menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, beg sekolah kepada murid di Sukau, kerusi roda dari Jabatan Kebajikan kepada pesakit yang memerlukan dan kunci Rumah SMJ kepada penduduk yang layak.

Beliau turut menerima borang keahlian daripada bekas Timbalan Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Sabah, Aksyah Nasrah bersama 11 bekas Ketua Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menyertai Gagasan Rakyat. – Info X

Berita

Penunggang motosikal maut kemalangan dengan pacuan empat roda

SEMPORNA: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kampung Mentelitip Pegagau, Jalan Semporna – Tawau, di sini, pagi ini.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mangsa, Kassim Anuar, 68, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialaminya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.22 pagi sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi.

Katanya, pasukan bomba tiba pada jam 7.45 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan Toyota Hilux dengan keseluruhan tiga mangsa terbabit.

“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Dua lagi mangsa adalah individu yang menaiki Toyota Hilux berkenaan, masing-masing berusia 36 dan 54 tahun.

“Mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke hospital, manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainal berkata, operasi ditamatkan pada jam 8.16 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain. – Info X

59 tahun SPRM: Lima teras pacu transformasi banteras rasuah

Oleh Noraizura Ahmad

PUTRAJAYA: Menghampiri enam dekad menggalas amanah membanteras rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperhebat strategi untuk memastikan penguatkuasaan, pencegahan dan pemantapan integriti kekal menjadi benteng utama agensi itu.

Bersempena dengan ulang tahun ke-59 agensi itu hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman menetapkan lima teras kepimpinan sebagai hala tuju pentadbirannya iaitu integriti tanpa kompromi, penguatkuasaan yang adil dan saksama, pencegahan proaktif, penerapan teknologi dan ketelusan serta kepercayaan rakyat.

Beliau kata perubahan dinamik dalam landskap jenayah rasuah menuntut SPRM sentiasa tangkas melakukan transformasi dan menyesuaikan kaedah siasatan supaya kekal relevan menghadapi cabaran era baharu.

“Integriti adalah benteng utama dalam perjuangan membanteras rasuah, tidak boleh dikompromi atas apa-apa jua alasan, sama ada dalam membuat keputusan, menjalankan siasatan mahupun melaksanakan tanggungjawab harian,” katanya dalam sesi wawancara sempena Ulang Tahun SPRM ke-59.

Beliau berkata teras kedua diterjemahkan melalui pendekatan penguatkuasaan yang adil, termasuk keputusan SPRM menggantung pemakaian baju lokap berwarna oren terhadap Orang Kena Siasat (OKS) bagi proses reman di mahkamah bagi menangkis persepsi negatif terhadap individu yang masih dalam peringkat siasatan.

“Bagi SPRM, penguatkuasaan yang tegas tidak bermakna mengabaikan prinsip keadilan, kita boleh tegas terhadap jenayah rasuah tetapi pada masa yang sama tetap menghormati hak, maruah dan prinsip keadilan terhadap setiap individu yang berdepan proses siasatan,” katanya

Mengulas teras ketiga, Abd Halim menegaskan keutamaan SPRM untuk memperkukuh langkah pencegahan proaktif adalah dengan mengenal pasti kelemahan sistem serta menutup ruang ketirisan sebelum barah rasuah melarat, khususnya menerusi Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT).

Beliau berkata BPT menggalas peranan berlandaskan Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta SPRM 2009, termasuk meneliti amalan, sistem dan tatacara badan awam di samping menasihati pihak berkaitan mengenai langkah mitigasi bagi mengekang ruang perlakuan rasuah.

“Dalam masa sama, aspek penguatkuasaan turut diperkasakan apabila SPRM tidak lagi hanya menunggu laporan, malah juga mengambil pendekatan yang lebih proaktif melalui Siasatan Berasaskan Risikan atau Intelligence Based Investigation (IBI) bagi mengenal pasti dan membongkar kegiatan rasuah. Kita mahu bertindak sebelum masalah menjadi lebih besar,” katanya.

Menyentuh teras keempat, Abd Halim berkata SPRM memberi tumpuan kepada pemerkasaan teknologi, pendigitalan, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) bagi melonjakkan kecekapan operasi serta memperkukuh ketelusan siasatan.

Katanya langlah itu disokong oleh anjakan pendekatan penguatkuasaan yang tidak lagi sekadar pasif menunggu aduan, malah juga bergerak pantas menerusi IBI.

“Menerusi gabungan penggunaan analitik data, teknologi kecerdasan buatan atau AI dan sistem digital, semua ini membantu pegawai penyiasat memproses maklumat dalam jumlah yang besar dengan lebih pantas, termasuk mengenal pasti anomali, menjejaki aliran kewangan dan mengesan hubungan yang mungkin sukar dikenal pasti melalui kaedah konvensional,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Hakim berkata pada tahun ini tumpuan operasi SPRM terarah kepada empat sektor berimpak tinggi iaitu perolehan kerajaan, agensi penguatkuasaan, dana awam atau peruntukan khas, serta hasil dan pendapatan kerajaan.

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga 31 Ogos lepas, SPRM menerima 5,239 maklumat dan membuka 842 kertas siasatan yang membawa kepada 803 tangkapan membabitkan 428 individu sektor swasta dan 311 penjawat awam, dengan 352 daripadanya melibatkan kesalahan menerima suapan, 278 tuntutan palsu serta 78 kes memberi rasuah.

“Selain itu, dalam tempoh Januari hingga 31 Julai lepas, SPRM telah berjaya merekodkan jumlah lucuthak, kompaun, penyelesaian dan pembekuan serta sitaan keseluruhannya bernilai RM55,314,743,” katanya.

Beliau menegaskan bagaimanapun, statistik bukan ukuran mutlak kejayaan SPRM, sebaliknya impak sebenar adalah apabila pesalah diheret ke muka pengadilan, ketirisan dana dikembalikan kepada negara dan lompang sistem berjaya dibaiki.

Menjadikan siasatan berprofil tinggi seperti skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International sebagai contoh, Abd Halim berkata kes berkenaan memperkukuh kepakaran agensi itu dalam forensik kewangan, siasatan rentas sempadan dan pemulihan aset.

“Bagi kes 1MDB, SPRM telah berjaya mendapatkan kembali RM31.3 bilion atau bersamaan 74.5 peratus daripada RM42 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diselewengkan setakat tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata kepelbagaian corak salah laku rasuah turut dibongkar menerusi operasi berimpak tinggi lain termasuk sindiket ‘counter setting’, Op Parasit, kelewatan agihan baja padi di Kedah, siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji serta pelaburan RM200 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan perlu disusuli pembetulan sistem, pengukuhan kawalan dalaman, penambahbaikan prosedur dan peningkatan akauntabiliti supaya setiap kes yang dibongkar memberikan pengajaran kepada negara.

“Kejayaan sebenar SPRM bukan sekadar apabila kita berjaya membongkar sesuatu kes, malah juga apabila hasil daripada kes tersebut, ruang untuk rasuah menjadi semakin sempit, sistem menjadi semakin kukuh dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara semakin meningkat,” katanya.

SPRM yang ditubuhkan pada Januari 2009 menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, bertindak sebagai badan bebas tunggal yang menerajui inisiatif pencegahan dan penguatkuasaan antirasuah di negara ini.–BERNAMA

Lori ‘sapu’ dua kereta, rempuh stor rumah

TENOM: Sebuah lori membawa muatan batu pasir hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum ‘menyapu’ dua kereta di halaman rumah penduduk dan merempuh sebuah stor di Jalan Batu 34, Tenom-Kemabong-Kuala Tomani, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Perodua Alza dan Proton Saga yang diletakkan di halaman rumah berkenaan mengalami kerosakan, manakala struktur stor turut rosak akibat rempuhan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu lelaki berusia 38 tahun dari arah Kemabong menuju Kuala Tomani untuk menghantar batu pasir.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan lurus menuruni bukit sebelum lori terbabas ke bahu kiri jalan.

“Lori itu kemudian merempuh dua kenderaan yang diletakkan di halaman rumah penduduk sebelum melanggar stor barangan di lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kejadian hanya membabitkan kerosakan kenderaan serta harta benda,” katanya.

Azmir berkata, ketiga-tiga pemandu dan pemilik kenderaan terbabit diarahkan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Tenom untuk membuat laporan kemalangan.

Katanya, cuaca ketika kejadian dilaporkan baik dengan keadaan jalan lurus menuruni bukit, rata dan berturap.

“Orang ramai khususnya pemandu kenderaan berat dinasihatkan supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mengawal kelajuan terutama ketika melalui laluan berbukit dan menurun bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59,” katanya. – Info X