SANDAKAN: Delegasi antarabangsa menyaksikan sendiri realiti semasa di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) menerusi lawatan ke beberapa pulau, di sini, baru-baru ini.

Program Menteri Dalam Negeri Security Visit and Engagement with International Delegates itu antara lain melawat Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Selingan sambil berinteraksi dengan komuniti setempat.

Menerusi program itu, kerajaan berharap dapat memperkukuh keyakinan pengunjung luar terhadap tahap keselamatan, kestabilan dan pembangunan mampan di kawasan ESSZone.

Lawatan itu membolehkan duta, pesuruhjaya tinggi dan wakil negara asing menilai sendiri keadaan sebenar di lapangan serta memahami keamanan di ESSZone adalah hasil komitmen berterusan Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri, khususnya ESSCOM bersama agensi keselamatan lain.

Keselamatan yang dinikmati di ESSZone membolehkan pergerakan di perairan selamat, pulau-pulau pelancongan terus dikunjungi dan komuniti pesisir menjalankan aktiviti harian dalam suasana aman.

Melalui pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu, delegasi diharap dapat berkongsi pemerhatian mereka dengan kerajaan masing-masing dan menyokong penilaian semula nasihat perjalanan (travel advisory) ke ESSZone berdasarkan keadaan semasa, fakta terkini dan penilaian yang objektif, bukan lagi berasaskan persepsi lampau.

Semakan terhadap nasihat perjalanan itu dapat meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa, merancakkan sektor pelancongan, menggalakkan pelaburan mampan, memperkukuh ekonomi komuniti setempat serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara Malaysia dan negara-negara rakan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail menerusi perkongsian di Facebooknya, berkata kali ini adalah tahun ketiga KDN bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menjemput diplomat dan perwakilan asing ke ESSZone untuk melihat dan menilai sendiri situasi sebenar di lapangan.

Karanya, seramai 14 diplomat dan pegawai perwakilan daripada 11 negara menyertai lawatan kali ini, mewakili England, Finland, Itali, Belgium, Austria, Perancis, Republik Czech, Kesatuan Eropah (EU), Switzerland, Slovakia dan Amerika Syarikat.

“Seawal pagi lagi kami mulakan dengan melawat ke Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Selingan di Sandakan. Di sini, para delegasi diberi penerangan mengenai usaha pemuliharaan penyu, daripada proses penetasan sehinggalah anak-anak penyu dilepaskan semula ke habitat asalnya.

“Program seperti ini memberi peluang kepada para delegasi melihat sendiri situasi sebenar di pantai timur Sabah, berbanding hanya bergantung kepada laporan atau persepsi dari luar.

“Mereka dapat menyaksikan sendiri keadaan di lapangan, tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan serta kehidupan masyarakat yang berlangsung seperti biasa,” katanya.

Ends

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *