KOTA KINABALU: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji perlu dijadikan panduan ke arah penambahbaikan institusi berkenaan.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, sehubungan itu berharap semua rekomendasi laporan berkenaan dilaksanakan bagi memastikan apa yang berlaku sebelum ini tidak berulang lagi.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada kerajaan kerana membawa laporan berkenaan untuk dibahaskan pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

“Sipitang berpandangan kerajaan wajar meneruskan segala tindakan susulan berdasarkan penemuan RCI secara profesional, telus dan bebas daripada sebarang bentuk campur tangan.

“Biarlah setiap tindakan dipandu oleh undang-undang, bukan oleh tekanan mana-mana pihak,” katanya ketika membahaskan laporan RCI berhubung pengurusan Tabung Haji di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Selasa.

Katanya, laporan RCI yang mencakupi tempoh antara tahun 2014 hingga 2020 itu mengandungi dapatan yang sewajarnya diberikan perhatian serius.

Matbali berkata setiap syor dan penemuan harus dinilai mengikut proses perundangan sedia ada agar keadilan dapat ditegakkan tanpa mengabaikan hak mana-mana pihak.

“Kita juga mendukung pendirian kerajaan dan Perdana Menteri supaya tindakan susulan dilaksanakan menurut lunas undang-undang serta prinsip tadbir urus yang baik.

“Dalam masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa proses siasatan hendaklah diberikan ruang sepenuhnya untuk berjalan tanpa sebarang gangguan.

“Demi kebaikan dan penambahbaikan. Jangan kita mengheret agensi penguat kuasa ke dalam gelanggang persepsi. Biarlah mereka melaksanakan amanah dengan bebas, profesional dan berintegriti,” katanya.- Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *