KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima 15 unit Light Operation Vehicle (LOV) pacuan empat roda bagi memperkukuh keupayaan operasi kecemasan di seluruh negeri.
Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Lizalman Abu berkata, semua kenderaan berkenaan akan diagihkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh Sabah berdasarkan keperluan operasi.

“Kenderaan ini direka bagi menyokong pelbagai tugasan kecemasan, rondaan dan logistik, selain digunakan untuk tugasan sokongan di kawasan bandar serta luar bandar.
“Aset ini juga dapat membantu operasi ketika berdepan situasi bencana dan kawasan yang mempunyai bentuk muka bumi mencabar.
“Penerimaan 15 unit LOV ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan mobiliti JBPM Sabah,” katanya pada majlis penyerahan dan agihan aset di Ibu Pejabat JBPM Sabah, di sini, hari ini.

Lizalman berkata, penambahan aset berkenaan turut meningkatkan keupayaan respons pasukan bomba dalam menghadapi pelbagai cabaran operasi di negeri ini.
Menurutnya, keluasan geografi Sabah serta keadaan bentuk muka bumi yang pelbagai memerlukan aset bersesuaian bagi memastikan pergerakan pasukan di lapangan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“JBPM merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kelulusan keperluan LOV bagi memperkasakan kesiapsiagaan serta keupayaan operasi jabatan, khususnya di Sabah,” katanya. – Info X