PENAMPANG: Tindakan seorang lelaki tempatan dipercayai membeli dan mengumpul minyak diesel bersubsidi menggunakan lori yang diubah suai membawa padah apabila dia diberkas dalam Op Tiris dijalankan polis awal pagi tadi.
Dalam operasi khas dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu, pasukan operasi turut merampas lebih 300 liter minyak diesel bersubsidi bersama sebuah lori rigid satu tan yang diubah suai menggunakan tangki minyak kanvas.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, suspek berusia 46 tahun itu ditahan hasil risikan dan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan tanpa permit atau kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA) IPD Penampang terlebih dahulu menjalankan pemantauan di sebuah stesen minyak di daerah berkenaan sebelum menahan suspek.
“Pemeriksaan mendapati suspek dipercayai menjalankan kegiatan pembelian dan pengumpulan minyak diesel secara tidak sah menggunakan lori yang sudah diubah suai.
“Turut dirampas dalam operasi itu ialah sekeping kad bank, sebuah telefon bimbit dan beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM68,645.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan suspek bersama barang kes sudah diserahkan kepada KPDN Sabah untuk tindakan lanjut.
“Polis akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan demi menjaga kepentingan negara serta kesejahteraan masyarakat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan,” katanya. – Info X