KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berhubung kegiatan import ayam sejuk beku secara tidak sah di Sabah.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tindakan itu selari dengan arahannya ketika mengadakan lawatan ke Pelabuhan Sepanggar pada 19 Julai lalu.

“MAFFI mengambil perhatian serius terhadap perkara ini dan akan memberi kerjasama penuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau mengulas laporan penahanan tiga individu dan rampasan 10 kontena ayam sejuk beku yang dipercayai diimport secara tidak sah dari China.

Berdasarkan laporan sebelum ini, sebanyak 10 kontena berisi ayam sejuk beku disita dalam operasi yang dilancarkan SPRM menerusi Ops Chick di pelabuhan di Sabah pada 11 Ogos.

Sementara itu, Jamawi menasihatkan semua pihak yang ingin mengimport produk makanan supaya mendapatkan permit import secara sah dan mematuhi prosedur ditetapkan.

SPRM sebelum ini melancarkan Ops Chick dengan kerjasama AKPS dan JKDM, dengan tiga lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an yang dipercayai berperanan sebagai ejen penghantaran dan pengurus syarikat ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Siasatan awal mendapati 10 kontena berkenaan, yang diimport dari China, diisytiharkan secara tidak benar dan tidak melalui proses pemeriksaan yang ditetapkan.

SPRM juga sedang mengenal pasti individu lain yang dipercayai terlibat.- Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *