TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) negeri menubuhkan pasukan petugas khas bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka membawa musim panas berpanjangan bermula September hingga Februari depan.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kementerian turut menyediakan garis panduan kepada petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita telah mengadakan perbincangan dan menyediakan garis panduan kepada semua petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya berhati-hati sepanjang musim ini.

“Jangan membuat pembakaran terbuka dan jangan membuka kawasan baharu. Di kawasan yang mempunyai takungan air, diminta membuat kolam-kolam sebagai simpanan air untuk jangka masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Jabatan Penerangan Sabah di Pejabat Pertanian Tenom, di sini, pada Khamis.

Jamawi berkata, pengusaha ternakan, termasuk lembu tenusu, kambing dan perikanan juga perlu mengambil langkah persediaan menghadapi cuaca panas.

Katanya, reka bentuk kandang perlu mempunyai pengudaraan yang baik, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kementerian.

“Nanti saya akan kongsi dengan Jabatan Perikanan supaya dapat disebarluaskan SOP kita menghadapi El Nino,” katanya. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *