KOTA KINABALU: Syarikat penerbitan muzik tempatan, AJ Productions kembali memeriahkan industri hiburan Sabah menerusi penerbitan beberapa karya istimewa yang dikumandangkan khusus sempena sambutan Kaamatan tahun ini.

Dengan mengetengahkan identiti budaya, semangat perpaduan dan keunikan warisan masyarakat Borneo, lagu berentak tradisi yang disesuaikan dengan sambutan Pesta Kaamatan itu pasti menggamit minat penggemar muzik tempatan Sabah.

AJ Productions yakin deretan lagu yang diterbitkan khas sepanjang musim Kaamatan kali ini bukan saja tampil sebagai hiburan kepada pendengar, malah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan lagi kedudukan muzik tempatan Sabah di persada industri muzik semasa.

Sandaran pertamanya untuk Kaamatan kali ini, lagu ‘Montok Tadau Kaamatan’ nyanyian Nic O’ Niel, mengetengahkan alunan melodi ciptaan Kaynizam Maskor manakala liriknya ditulis sendiri oleh Nic, satu cubaan untuk tampil menghangatkan sambutan Kaamatan kali ini.

Dikenali dengan debut ‘Hadirmu Kasih’ bersama Asmi Andi Yakin, Nic tampil dengan single Kaamatan yang menggambarkan kegembiraan masyarakat Sabah meraikan perayaan itu bersama keluarga, sahabat-handai dan komuniti setempat.

Dengan irama yang mudah melekat dan dekat dengan jiwa pendengar di Sabah, AJ Productions yakin lagu itu bakal menjadi antara karya yang cukup sinonim dengan suasana Kaamatan masa kini.

Menghangatkan lagi kemeriahan sambutan Kaamatan kali ini, AJ Productions turut tampil menerusi penerbitan ‘Guyang Kaamatan’ yang dibawakan Rich, sebuah karya berentak agak rancak yang menghiburkan.

“Selari dengan tajuknya, lagu ini membawa mesej kegembiraan dan mengajak masyarakat untuk sama-sama menikmati kemeriahan sambutan Kaamatan.

“Gabungan elemen muzik moden bersama sentuhan identiti tempatan menjadikan karya ini antara lagu yang berpotensi menjadi pilihan utama sepanjang musim perayaan tahun ini,” ulas AJ Productions mengenai lagu baharu Rich itu.

Dalam pada itu, Clarice John Matha bersama Andrew Poninting turut tampil dengan versi baharu lagu malar segar ‘Tondu Unduk Ngadau’ yang diterbitkan AJ Productions sempena Kaamatan tahun ini.

Lagu ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dan lirik oleh Datuk Illyas Ibrahim itu sebelum ini pernah dipopularkan oleh Donna Masidah yang sememangnya cukup dekat di hati peminat muzik tempatan.

Versi terkini itu diberikan susunan muzik yang lebih moden dan menarik tanpa menghilangkan keindahan serta nilai sentimental karya asalnya.

AJ Productions menyifatkan gabungan vokal Clarice dan Andrew itu berjaya membawa elemen nostalgia serta penghormatan terhadap budaya Kadazandusun yang sinonim dengan sambutan Kaamatan.

Tidak ketinggalan, AJ Productions turut menerbitkan sebuah lagu nyanyian bekas juara Sugandoi 2023, Jill Gaisah untuk sama-sama memeriahkan musim Kaamatan kali ini menerusi lagu ‘Kaubasanan Kaamatan’.

Lagu hasil karya Jasnie Mohd Yaakub dan Lydia Kalidin itu sebelum ini pernah dipersembahkan Auni Nabilla, namun versi baharu yang dibawakan Jill Gaisah tampil dengan sentuhan lebih segar menerusi vokal yang lembut dan penuh emosi.

“Lagu ini mengetengahkan elemen kerinduan terhadap kampung halaman, budaya dan memori Kaamatan yang sentiasa dirindui setiap kali tibanya bulan Mei,” ulas AJ Productions mengenai mesej yang dibawa ‘Kaubasanan Kaamatan’.

AJ Productions menjelaskan, penerbitan karya-karya itu bukan sekadar bertujuan memberikan hiburan kepada masyarakat, malah sebagai usaha berterusan dalam mengangkat martabat muzik tempatan Sabah agar terus berkembang, relevan dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas.

Pada masa sama, jelasnya karya-karya lama yang mempunyai nilai sentimental turut diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik lebih kontemporari bagi memastikan ia terus dekat dengan generasi muda masa kini.

“Dengan kehadiran pelbagai karya baharu daripada artis-artis tempatan Sabah, sambutan Pesta Kaamatan tahun ini pasti lebih meriah dan berwarna-warni.

“Diharapkan lagu-lagu terbitan khas musim Kaamatan ini akan terus mendapat tempat di hati pendengar serta menjadi antara soundtrack utama sepanjang sambutan perayaan ini,” katanya.

AJ Productions seterusnya mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *