KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang memperhalusi beberapa pembaharuan sektor kesihatan negeri termasuk cadangan pindaan Ordinan Kesihatan Awam (PHO), penerimaan Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371) dan penubuhan majlis penasihat kesihatan negeri bagi memperkukuh tadbir urus dan autonomi kesihatan Sabah.
Perkara itu antara fokus utama Bengkel Kesihatan anjuran Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR) yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan sektor kesihatan, di sini pada hari Rabu.
Menteri KWKKR, Datuk Julita Majungki berkata bengkel itu bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada semua pihak sebelum sebarang cadangan dibawa ke Kabinet Negeri dan platform berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pendekatan ‘team government’ perlu menjadi asas dalam memperkukuh sistem kesihatan negeri ini tanpa menjejaskan peranan mana-mana agensi sedia ada.
“Kita bukan mahu mengambil alih tugas sesiapa, tetapi mahu memastikan perkara yang masih perlu diperbaiki dapat dilaksanakan bersama sebagai satu pasukan.
“Pandangan yang dikumpulkan hari ini akan diperhalusi sebelum dibawa ke peringkat pembuat dasar termasuk Kabinet Negeri dan jawatankuasa berkaitan,” katanya ketika merasmikan bengkel itu di The Magellan, Sutera Harbour di sini.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk status pindaan PHO, penerimaan Akta 371 di Sabah serta cadangan mewujudkan sebuah Majlis atau Jawatankuasa Khas Kesihatan Negeri Sabah.
Julita berkata Sabah juga perlu melihat keperluan memperkukuh beberapa aspek perundangan kesihatan awam termasuk isu fluoridasi dan pengurusan pembentungan yang mempunyai implikasi langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Beliau turut memaklumkan beberapa cadangan berkaitan PHO dijangka dibawa untuk perbincangan lanjut bersama kementerian dan jawatankuasa teknikal MA63 dalam masa terdekat sebelum dimuktamadkan di peringkat lebih tinggi.
“Kalau kita perlu pergi ke Kabinet, kita pergi ke Kabinet. Kalau perlu ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meluluskan enakmen tertentu, kita akan lakukan demi kepentingan Sabah,” katanya.
Bengkel sehari itu disertai Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Persatuan Farmaseutikal Sabah (SPS), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR), Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah dan wakil sektor kesihatan lain. – Info X