KOTA KINABALU: Penstrukturan semula Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menerusi pindaan perlembagaan parti itu dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan kelangsungan dan pembaharuan kepimpinan masa depannya.

Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pindaan perlembagaan yang dicadangkan bukan saja memperkukuhkan struktur organisasi parti, malah membuka ruang lebih luas kepada generasi baharu untuk tampil memimpin.

Jelasnya, pemimpin sedia ada perlu menerima hakikat bahawa proses peralihan kepimpinan perlu dilakukan demi memastikan Gagasan Rakyat terus relevan dan mampu berkembang.

“Kita mahu menyediakan masa depan untuk generasi seterusnya. Sebagai pemimpin, antara tanggungjawab paling penting ialah menyediakan pelapis kepimpinan kepada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Masidi yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, struktur baharu yang dicadangkan memberi penekanan kepada konsep pasukan kepimpinan bagi menghimpunkan semua bakat dan kekuatan pemimpin dalam satu organisasi yang lebih mantap.

Katanya, pemimpin juga perlu bersedia memberi peluang kepada individu yang lebih berkebolehan demi memperkukuhkan parti.

“Kalau ego menguasai kita, lambat-laun parti akan jatuh. Kita perlu berjiwa besar dan memberi ruang kepada mereka yang mampu memimpin bersama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa parti itu kini berada dalam fasa lebih matang dan perlu melahirkan pemimpin yang mampu bersaing bukan saja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat kebangsaan.

“Kita mahu pemimpin kita mampu bersaing di peringkat negeri dan juga kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata kestabilan politik, keharmonian kaum dan agama serta pengurusan kerajaan negeri yang baik menjadi faktor penting yang meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Sabah.

“Apa yang lebih penting adalah membangunkan negeri serta memastikan setiap rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan.

“Justeru usaha memperkukuh
dan meningkatkan kualiti kepimpinan parti perlu diteruskan agar pentadbiran negeri dapat diurus dengan lebih berkesan dan teratur,” katanya.

Masidi menegaskan, kerajaan negeri di bawah pimpinan GRS memberi tumpuan kepada kerja dan pencapaian sebenar berbanding retorik politik semata-mata.

Pada Ahad, Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan pindaan perlembagaan parti itu bagi membolehkan bahagian parti ditukar mengikut 26 kawasan Parlimen di Sabah dan Labuan, berbanding 74 bahagian mengikut kawasan DUN sebelum ini disokong sebulat suara perwakilan Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *