PENAMPANG: Kegiatan tiga sekawan yang disyaki terbabit dalam kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini berakhir apabila mereka diberkas polis dalam satu operasi, semalam.
Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 17 hingga 25 tahun itu ditahan sepasukan polis, selain sebuah motosikal serta anak kunci motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil curian turut dirampas.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, penahanan itu adalah hasil tindakan dan siasatan polis terhadap kes kecurian motosikal di daerah berkenaan.
Katanya, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan, manakala barang rampasan turut dibawa untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencuri kenderaan motor.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta dikenakan denda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sammy berkata, pihaknya akan terus mempergiat usaha mengesan dan membanteras kegiatan jenayah, khususnya kes kecurian kenderaan di daerah Penampang.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kenderaan dikunci sempurna, menggunakan kunci keselamatan tambahan serta meletakkan kenderaan di kawasan terang dan selamat.
“Masyarakat juga diseru supaya sentiasa peka terhadap persekitaran dan segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan individu, kenderaan atau sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya. – Info X