KOTA MARUDU: Kegiatan mengumpul petrol dan diesel bersubsidi terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu sebuah premis di Kampung Tangkol, Jalan Marak Parak, di sini, petang semalam.

Serbuan kira-kira jam 4 petang di itu dilakukan susulan maklumat dan risikan daripada kes tangkapan serta rampasan bahan api bersubsidi di Pitas sebelum ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan di bahagian belakang premis menemukan 33 tong dram berkapasiti 200 liter.

Katanya, daripada jumlah itu, 10 tong disyaki mengandungi petrol manakala 23 lagi dipercayai berisi diesel.

“Seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai pemilik premis turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen, lesen, permit atau kebenaran sah berkaitan penyimpanan bahan api berkenaan.

“Kesemua barang kes turut dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM33,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Amri berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, PPM Wilayah 4 Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam penyelewengan serta penyalahgunaan subsidi kerajaan yang sepatutnya dinikmati rakyat.

Katanya, risikan dan operasi susulan akan terus dipertingkatkan bagi mengesan rantaian kegiatan penyelewengan barang kawalan serta memastikan subsidi kerajaan tidak disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *