PITAS: Cubaan menyeludup kira-kira 5,000 liter petrol bersubsidi ke negara jiran berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam serbuan di tepi sungai Kampung Mapan-Mapan, di sini, tengah malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, tiga lelaki berusia antara 36 hingga 39 tahun ditahan ketika dipercayai sedang memindahkan tong berisi petrol bersubsidi menggunakan bot di kawasan muara sungai berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, hasil operasi itu, pasukannya merampas kira-kira 5,000 liter petrol bersubsidi bersama 38 tong dram.

Katanya, turut dirampas tiga bot kayu termasuk enjin dan kelengkapan bot dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM100,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 100 kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan 92 tangkapan.

Katanya, sepanjang tempoh sama, jumlah keseluruhan nilai rampasan direkodkan melebihi RM25.2 juta.

Ahmad Amri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam penyelewengan dan penyalahgunaan barangan bersubsidi kerajaan yang sepatutnya dinikmati rakyat.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya yang cuba dibawa keluar dari negara,” katanya. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *