KOTA KINABALU: Tujuh individu termasuk empat penjawat awam direman bagi membantu siasatan berhubung sindiket mengimport ayam sejuk beku secara tidak sah menerusi sebuah pelabuhan di Sabah.

Semua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan rasuah bagi melepaskan ayam sejuk beku yang diimport tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

Perintah reman selama tiga hari sehingga 15 Ogos ini dikeluarkan Majistret Marilyn Kelvin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi.

Terdahulu, menerusi ‘Op Chick’ yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sabah, semalam, sebanyak 10 kontena ayam sejuk beku disita.

Kontena berkenaan dipercayai membawa ayam sejuk beku yang diimport secara tidak sah dari China dan Poland.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan reman semua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *