KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan menggesa pihak berkuasa yang berkaitan mengambil serius keperluan untuk mengkaji semula mekanisme tambang penerbangan yang ketika ini dilihat membebankan pengguna, khususnya dari Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Loi Kok Liang, berkata langkah itu perlu berikutan kadar tambang semasa, khususnya bagi penerbangan Kota Kinabalu-Kuala Lumpur dilihat semakin tinggi dan mahal.

Beliau berkata, ramai anak Sabah melanjutkan pengajian di Semenanjung, selain golongan muda yang memilih bekerja di sana bagi mendapatkan pendapatan yang lebih baik, terbeban dengan kos penerbangan yang semakin naik.

“Mereka yang belajar dan bekerja di luar Sabah bukan pelancong. Mereka adalah anak-anak kita yang mahu pulang bertemu ibu bapa dan berkumpul bersama keluarga, tetapi terpaksa berdepan dengan kos penerbangan yang semakin membebankan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Loi turut menyatakan sokongan terhadap kebimbangan yang dibangkitkan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan Tionghua Sabah yang juga Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Kota Kinabalu, Datuk Michael Lui Yen Sang, berhubung perbezaan ketara harga tiket penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

Katanya, beliau memahami syarikat penerbangan mempunyai pertimbangan komersial dan mengamalkan sistem harga dinamik yang ditawarkan kepada pengguna.

“Namun, apabila tambang bagi laluan yang sama boleh meningkat daripada beberapa ratus ringgit kepada lebih RM1,600 dalam tempoh beberapa hari, pihak berkaitan perlu mendengar suara rakyat dan memahami beban yang mereka tanggung.

“Saya menyokong seruan Datuk Michael Lui Yen Sang, pihak berkaitan perlu meneliti jumlah penerbangan, kapasiti tempat duduk serta mekanisme penetapan tambang supaya satu keseimbangan yang lebih munasabah dapat dicapai antara keperluan komersial syarikat penerbangan dengan kemampuan rakyat,” katanya.

Loi menegaskan Sabah dipisahkan dari Semenanjung oleh Laut China Selatan dan rakyat Sabah tidak mempunyai pilihan untuk pulang dengan kereta api, bas atau memandu sendiri.

“Bagi ramai rakyat Sabah, menaiki kapal terbang bukan satu kemewahan tetapi satu keperluan untuk pulang ke rumah.

“Jangan sampai anak-anak kita yang belajar dan bekerja jauh dari Sabah terpaksa berfikir berkali-kali hanya kerana harga tiket apabila mereka mahu pulang bertemu keluarga,” katanya. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *