KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa mengambil tindakan segera bagi menangani harga tiket penerbangan Sabah-Semenanjung yang tinggi dan membebankan rakyat.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS), Hendri Hamsah, berkata ia termasuk mengkaji semula struktur tambang dan mempertimbangkan mekanisme had siling harga bagi laluan strategik.
Katanya, kerajaan juga perlu memperkenalkan mekanisme penetapan harga yang lebih telus dan mempertimbangkan skim subsidi atau insentif khas kepada pelajar, mahasiswa, warga emas dan rakyat yang perlu melakukan perjalanan atas urusan kesihatan.
“Isu harga tiket penerbangan Sabah-Semenanjung bukan sekadar bermusim ketika musim perayaan, tetapi menjadi masalah struktur yang berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian yang tuntas,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook DPPNS.
Sebelum ini, ADUN Karambunai yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menyuarakan kebimbangan berhubung isu berkenaan kerana membebankan rakyat.
Mengulas lanjut, Hendri berkata kebimbangan itu adalah berasas dan wajar diberikan perhatian segera oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pengangkutan serta pihak berkaitan.
Jelasnya, isu berkenaan bukan perkara baharu, malah disuarakan secara konsisten sejak beberapa tahun lalu, khususnya berkaitan kesan kos penerbangan yang tinggi kepada rakyat Sabah.
Tegasnya, bagi rakyat Sabah, penerbangan bukanlah satu kemewahan tetapi satu keperluan kerana pengangkutan udara satu-satunya pilihan untuk urusan pekerjaan, pendidikan, perniagaan, kesihatan dan kekeluargaan di Semenanjung.
“Berbeza dengan negeri-negeri di Semenanjung yang mempunyai pelbagai pilihan pengangkutan darat seperti lebuh raya, bas dan kereta api, rakyat Sabah tidak mempunyai alternatif pengangkutan yang setara untuk bergerak ke Semenanjung.
“Justeru, tidak wajar rakyat Sabah terus dibebankan dengan kos penerbangan yang tinggi hanya untuk bergerak dalam Persekutuan yang sama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan mengkaji semula struktur harga tiket penerbangan bagi laluan Sabah-Semenanjung yang dilihat semakin membebankan pengguna.
Katanya, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia juga harus digesa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap mekanisme penetapan harga tiket bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa dilindungi.
“Kerajaan Persekutuan turut diminta mempertimbangkan pelaksanaan had siling harga (price cap) bagi laluan strategik yang tidak mempunyai alternatif pengangkutan lain,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan agar satu skim subsidi atau insentif khas bagi membantu golongan yang terkesan, khususnya pelajar, mahasiswa, warga emas dan rakyat yang perlu melakukan perjalanan atas urusan kesihatan.
Katanya, kos perjalanan yang tinggi turut memberi kesan kepada mahasiswa Sabah yang menuntut di Semenanjung, penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi, usahawan serta rakyat yang perlu mendapatkan rawatan di luar negeri.
Menurutnya, keadaan itu juga berpotensi melebarkan jurang sosial dan ekonomi antara Sabah dengan Semenanjung sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh.
Dalam pada itu, katanya DPPNS berpandangan isu kemudahsampaian dan kos perhubungan antara Sabah dengan Semenanjung perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar, termasuk di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menuntut layanan adil dan saksama kepada rakyat Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
“Ini bukan isu politik kepartian, ini isu rakyat, isu kos sara hidup dan isu keadilan kepada Sabah. Rakyat Sabah bukan warganegara kelas kedua dalam negara sendiri.
“Selagi rakyat Sabah terpaksa membayar harga yang tidak munasabah untuk berhubung dengan Semenanjung, selagi itulah isu ini perlu terus diperjuangkan,” katanya.- Info X