TAWAU: Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan selepas disyaki mengugut mahu membunuh ibunya selain mencekik neneknya ketika mengamuk di rumah keluarga mereka di Kampung Sungai Tuda, Kalabakan, Jun lalu.

Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan, kira-kira jam 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 24 Jun lalu.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam, sehari sebelum laporan dibuat, apabila adik suspek menerima panggilan daripada ibu mereka memaklumkan abangnya sedang mengamuk di rumah.

“Suspek dipercayai mengugut mahu membunuh ibunya selain bertindak mencekik leher neneknya ketika kejadian.

“Adik suspek yang tiba di rumah kemudian cuba menenangkan dan menahannya bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan itu bagaimanapun menyebabkan berlaku pergelutan antara dua beradik berkenaan sehingga adik suspek mengalami kecederaan.

Katanya, suspek kemudian diarahkan keluar dari rumah kerana dipercayai memegang spanar yang dikhuatiri boleh digunakan untuk mengancam keselamatan ahli keluarganya.

Rosdi berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan turut menjalani ujian saringan awal air kencing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

“Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan atau tindakan agresif yang boleh mengancam keselamatan orang awam termasuk ahli keluarga sendiri,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya berdepan atau mengetahui sebarang ancaman keselamatan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *