KOTA KINABALU: Seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Jalan Sulaman, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mayat mangsa berusia 57 tahun ditemui di kawasan parkir bangunan berkenaan sebelum polis menerima laporan mengenai kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi.

Katanya, pasukan itu turut dibantu Pasukan Forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah unit kondominium di tingkat 12 bangunan berkenaan.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian bagaimanapun tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan kerana ia boleh mengganggu siasatan polis.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau video kejadian demi menghormati privasi keluarga mangsa. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *