KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal menimbulkan spekulasi apabila memuat naik hantaran di Facebook mengenai satu kenyataan yang akan dibuatnya pada Selasa.

Hantaran berkenaan menimbulkan teka-teki, selain ditafsir sebagai sesuatu yang ‘besar’ bakal diumumkan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, khususnya berkaitan politik.

“Malam ini, ada sesuatu yang penting untuk saya sampaikan kepada seluruh rakyat. Nantikan kenyataan saya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Ramai netizen tertanya-tanya dan membuat spekulasi mengenai perkembangan politik sejurus membaca hantaran itu, termasuk mengaitkannya dengan Warisan.

Berikutan spekulasi itu, Yusof sekali lagi memuat naik hantaran di Facebook menafikan kaitan kenyataannya dengan hal lain selain berkaitan DUN Silam yang diwakilinya.

“Ramai yang bertanya. Jangan risau ya. Kenyataan malam ini hanya melibatkan kawasan DUN N.62 Silam. Tiada apa yang perlu dibimbangkan dan jangan membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Setelah menimbulkan spekulasi, Yusof kemudiannya memuat naik kenyataan yang dimaksudkannya yang sebenarnya hanya berkaitan nasib penduduk yang terjejas akibat pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Sepertimana yang saya janjikan petang tadi, inilah perkara yang saya mahu kongsikan.

“Hati saya benar-benar tersentuh apabila menerima begitu banyak aduan daripada penduduk yang terlibat dengan Projek Pan Borneo di kawasan DUN N.62 Silam, khususnya penduduk yang berada di rizab jalan.

“Malah, ada antara mereka yang telah menerima notis untuk mengosongkan dan merobohkan kediaman mereka pada 13 Ogos ini. Alangkah hibanya.

“Bagi saya, pembangunan memang penting. Namun, kebajikan rakyat yang terkesan juga tidak boleh dipinggirkan. Mereka bukan menolak pembangunan, mereka hanya mengharapkan layanan yang adil,” katanya.

Menerusi kenyataan itu, beliau yang juga ADUN Silam menuntut agar kerajaan negeri menyegerakan pembayaran pampasan ex gratia kepada semua penduduk yang terjejas.

“Jangan biarkan mereka kehilangan kediaman tanpa pembelaan yang sewajarnya. Ini rakyat yang memandati kepada kamu sebagai kerajaan.

“Saya akan terus menyuarakan tuntutan ini sehingga pembayaran pampasan ex gratia kepada semua yang terlibat benar-benar dilaksanakan.

“Rakyat saya tidak boleh dibiarkan berdepan ujian ini bersendirian,” katanya. – Info X

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *